MENGAPA WANITA TUMBUH FIBROID?
Umur empat puluhan merupakan umur
yang penting bagi seseorang wanita kerana dalam jangka waktu ini banyak
perubahan yang berlaku sama ada perubahan jasmani, mental, emosi atau
rohaniah. Kali ini, saya ingin membincangkan satu aspek perubahan
jasmani yang boleh mengancam atau menjejaskan kesihatan seseorang wanita
yang menjangkau umur empat puluhan. Saya percaya ramai di kalangan
mereka yang berumur dalam lingkungan empat puluhan bersetuju dengan saya
bahawa dalam peringkat ini mereka mengalami berbagai-bagai perubahan.
Salah satu daripada perubahan itu ialah gangguan haid.
Pelbagai Gangguan Haid
Pelbagai
gangguan haid boleh berlaku sama ada haidnya berjalan secara tidak
teratur atau secara teratur tetapi keluar dengan banyak serta
berpanjangan. Ada pula yang mengalami masalah sakit (senggugut) ketika
turun haid dan darahnya keluar berketul-ketul sehingga badannya menjadi
lemah disebabkan kehilangan darah yang begitu banyak. Ada pula yang
diganggu oleh perjalanan haid yang tidak betul seperti keluar tidak
tentu masa dan sedikit demi sedikit serta berpanjangan pula. Ada pula
yang tidak keluar haid selama beberapa bulan dan apabila keluar, wanita
itu mengalami pendarahan yang begitu banyak serta berpanjangan. Ada pula
yang mengalami kekurangan atau kekeringan haid seperti keluar sekali
dalam dua atau tiga bulan dengan sedikit sahaja. Bagi mereka yang
mengalami kekurangan atau kekeringan haid ini selalu berasa bimbang sama
ada dia akan mengalami putus haid (menopaus) atau tidak. Ada sesetengah
wanita pula mengalami masalah turun darah selepas melakukan
persetubuhan dengan suami. Ini mungkin menandakan sesuatu yang berbahaya
seperti ketumbuhan besar.
Saya ingin menekankan di sini,
bahawa gangguan haid pada wanita dalam umur sekitar empat puluhan atau
lebih, boleh menandakan penyakit yang sangat berbahaya dan ditakuti
seperti kanser pangkal rahim.
Oleh itu, saya ingin menasihatkan
kepada kaum wanita, jika dia mengalami masalah-masalah yang saya
nyatakan di atas, eloklah dapatkan nasihat dan pemeriksaan daripada
doktor mereka atau daripada pakar sakit puan.
Gangguan Haid Boleh Menandakan Ketumbuhan Dalam Rahim
Gangguan
haid yang berbagai-bagai bentuk boleh menandakan sesuatu penyakit dalam
rahim. Bagi mereka yang berumur dalam lingkungan empat puluhan,
penyakit yang sering menyebabkan gangguan haid ialah ketumbuhan daging
pada dinding rahim, iaitu ketumbuhan yang dinamakan fibroid. Walau
bagaimanapun, ada penyakit-penyakit lain yang lebih ditakuti seperti
kanser pangkal rahim, kanser rahim dan ketumbuhan lain seperti
endometriosis, adenomysis dan jangkitan kuman di dalam perkakas
peranakan.
Bagaimanapun, saya hanya akan membincangkan
tentang fibroid kerana saya percaya, bahawa ini merupakan ketumbuhan
dalam rahim yang paling sering menyerang wanita. Walaupun, ketumbuhan
fibroid sering berlaku, namun tidak kesemua ketumbuhan ini menimbulkan
masalah dan kadang-kala seseorang wanita tidak sedar dia mempunyai
ketumbuhan tersebut sehingga akhir hayatnya kerana ketumbuhan itu tidak
menimbulkan apa-apa tanda ataupun gejala yang boleh mengancam
kesihatannya.
Apakah Ketumbuhan Fibroid?
Ketumbuhan fibroid ialah
sejenis ketumbuhan yang berlaku pada dinding rahim, khususnya pada
lapisan otot. Sebenarnya, rahim mempunyai tiga lapisan. Lapisan paling
luar ialah lapisan yang nipis yang dinamakan serosa. Bahagian tengahnya
ialah lapisan otot atau myometrium yang boleh mengembang dan membesar
ketika seseorang wanita sedang hamil. Ketika kandungan dalam peringkat
pelahiran sebelum bersalin, otot ini akan menguncup untuk mengeluarkan
bayi dan setelah bersalin, otot ini akan kuncup dan pulih seperti
sediakala. Walaubagaimanapun, ketumbuhan boleh berlaku pada lapisan otot
ini, iaitu ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot bercampur dengan
tisu berserat atau tisu penyambung.
Lapisan paling dalam
ialah lapisan endometrium. Lapisan ini sering berubah-ubah mengikut
pusingan haid. Apabila seseorang wanita tidak hamil, maka sebahagian
daripada lapisan endometrium akan luruh dan ia akan keluar bersama-sama
dengan darah haid. Darah haid adalah campuran antara darah dengan
tisu-tisu dan sel-sel dari lapisan endometrium, lendir serta kuman-kuman
bakteria dan lain-lain. Biasanya, campuran ini dinamakan “darah kotor”.
Sebenarnya, darah tidak akan menjadi 'kotor' sebelum ia keluar dan
bercampur dengan bahan-bahan yang saya nyatakan tadi.
Mengapa Tumbuh Fibroid?
Ramai orang tertanya-tanya mengapa seseorang wanita ditumbuhi
fibroid pada lapisan dinding rahim. Sebenarnya, punca bagi penyakit ini
tidaklah diketahui, dan mengapa ia tumbuh pada sesetengah orang
sedangkan yang lainnya tidak. Ada satu kajian yang menunjukkan bahawa
lebih kurang 25 peratus daripada wanita sebelum meninggal dunia akan
menghidapi penyakit fibroid pada rahimnya tetapi tidak semua mengunjungi
dan mendapat rawatan daripada doktor kerana kebanyakan fibroid ini
tidak menimbulkan sebarang tanda atau menggangu kesihatan.
Ada yang mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini sering berlaku di
kalangan wanita yang tidak berkahwin atau lambat berkahwin dan juga yang
berkahwin tetapi sukar untuk mengandung dan beranak. Saya juga sering
menjumpai fibroid di kalangan wanita yang mengalami masalah
ketidaksuburan atau kemandulan. Di samping ketumbuhan fibroid, mereka
juga menghidap penyakit endometriosis, iaitu sejenis penyakit di mana
darah kotor melimpah ke belakang rahim menyebabkan berbagai-bagai
masalah pada saluran peranakan, kilang telur dan persekitaran rahim.
Mana yang timbul dahulu, fibroid ataupun masalah ketidaksuburan
tidaklah diketahui. Bagaimanapun, apa yang nyata masalah ketidaksuburan
sering berkait rapat dengan ketumbuhan fibroid. Walaupun demikian,
wanita yang pernah beranak juga tidak terlindung daripada penyakit
fibroid. Seringkali kita lihat di kalangan wanita yang menjangkau ke
umur tiga puluhan atau empat puluhan dan setelah anak mereka besar
walaupun mereka telah melahirkan mungkin empat atau lima orang anak
selepas itu, mereka mendapati sukar untuk beranak lagi dan beberapa
tahun kemudian mereka mengalami berbagai-bagai masalah serta gangguan
haid, dan apabila diperiksa didapati mereka mengalami ketumbuhan
fibroid.
Fibroid Akibat Ketidakseimbangan Hormon
Ada orang
mengatakan, bahawa ketumbuhan fibroid ini adalah akibat daripada
ketidakseimbangan dalam hormon wanita. Perlu diberitahu di sini, bahawa
wanita mempunyai dua jenis hormon, iaitu estrogen dan progesteron.
Biasanya, estrogen meningkat naik sejurus selepas haid dan paras
progesteron pula meningkat selepas telur dikeluarkan, iaitu dua minggu
selepas keluar haid sehingga tempoh haid akan datang. Oleh itu, keadaan
yang tidak seimbang, khususnya jika terlalu banyak estrogen dan tidak
mencukupi progesteron dalam badan seseorang, boleh menimbulkan
berbagai-bagai masalah seperti pendarahan yang tidak tentu masa,
ketumbuhan fibroid pada rahim serta keadaan ketidaksuburan atau
kemandulan.
Sukar untuk kita ketahui, mengapa kandungan
estrogen dan progesteron menjadi tidak seimbang kerana segala-galanya
adalah dikawal oleh hormon yang dikeluarkan oleh kilang pituitari yang
terletak di dalam otak. Fungsi kilang pituitari ini mudah dipengaruhi
oleh keadaan mental, emosi dan rohaniah seseorang. Jika ada gangguan
pada tahap tersebut, maka rangkaian hormon yang mengawal pusingan dan
mengawal paras estrogen dan progesteron boleh terganggu. Desakan dan
tekanan hidup yang sering dialami oleh kebanyakan wanita yang bekerja
juga akan mengganggu kawalan dan fungsi rangkaian hormon yang mengawal
pusingan haid seseorang. Oleh itu, keadaan seperti ketidaksuburan dan
penyakit ketumbuhan pada rahim serta endometriosis sering berlaku di
kalangan wanita moden yang bekerja.
Tidak ada bukti-bukti
yang menunjukkan, bahawa ketumbuhan fibroid ini dipengaruhi oleh
unsur-unsur lain seperti makanan, keracunan ataupun jangkitan kuman.
Apakah Gejala-gejala Fibroid?
Fibroid
mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah. Ia hanya tumbuh secara
senyap tanpa menimbulkan gejala atau tanda, dan tidak menimbulkan
masalah kesihatan pada wanita. Oleh itu, seseorang wanita tidak boleh
terus hidup dengan fibroid tanpa menyedarinya, khususnya jika wanita itu
tidak pernah berjumpa doktor untuk mendapat pemeriksaan. Oleh kerana
tidak semua fibroid menimbulkan masalah, jika ia kecil dan tidak
menimbulkan sebarang tanda atau gejala, kadang-kala ia tidak memerlukan
rawatan langsung. Perlu saya tekankan di sini, bahawa wanita yang hampir
putus haid dan mempunyai ketumbuhan fibroid yang kecil saiznya dan
tidak menimbulkan apa-apa tanda, ia tidak perlu dibedah kerana biasanya
fibroid yang kecil akan mencerut dengan sendiri ketika seseorang wanita
itu putus haid. Seperti yang saya nyatakan di atas, ketumbuhan fibroid
adalah dipengaruhi oleh estrogen. Ketika seseorang wanita itu putus
haid paras estrogen akan jatuh ke tahap yang sangat rendah dan dengan
sendirinya rahim akan menguncup dan ketumbuhan fibroid juga akan
mencerut.
Gangguan Haid
Saya telah nyatakan di atas, bahawa tanda
yang paling biasa bagi ketumbuhan fibroid ialah gangguan haid dan di
antara gangguan-gangguan yang boleh menjejaskan kesihatan ialah
pendarahan yang banyak dan berpanjangan. Keadaan ini boleh menyebabkan
kehilangan darah yang begitu banyak dan menyebabkan seseorang wanita itu
mengalami kekurangan darah (anemia). Keadaan ini boleh membahayakan
kesihatannya.
Bagi wanita yang mengalami pendarahan yang
banyak dan berketul-ketul pula, eloklah mereka diperiksa dan jika
didapati menghidap penyakit fibroid, rawatannya ialah pembedahan. Walau
bagaimanapun, gangguan haid jenis ini ialah sakit ketika haid
(senggugut) dan juga haid yang tidak teratur dan hanya menitis
sedikit-sedikit sahaja, dan tidak tentu waktunya. Setiap wanita,
khususnya mereka yang berumur empat puluhan yang mengalami masalah
gangguan haid, mestilah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan dari doktor,
khususnya doktor pakar sakit puan.
Masalah Ketidaksuburan Atau Kemandulan
Fibroid
boleh juga menimbulkan masalah ketidaksuburan atau kemandulan di
kalangan wanita. Oleh itu, wanita yang lambat berkahwin ataupun setelah
beberapa tahun kahwin dan tidak mendapat anak, perlulah mendapatkan
pemeriksaan daripada doktor pakar untuk mengesan sama ada dia mengalami
masalah ketumbuhan dalam rahim. Tidak semestinya semua wanita yang
mengalami ketumbuhan fibroid tidak boleh mengandung kerana ramai juga
wanita yang mempunyai fibroid dan masih boleh mengandung.
Tetapi, di antara masalah-masalah yang boleh timbul akibat ketumbuhan
fibroid terhadap kehamilan ialah ketumbuhan itu jika besar boleh
menyebabkan keguguran ataupun kelahiran sebelum cukup bulan dan
kadang-kala menimbulkan masalah kedudukan bayi yang tidak betul seperti
songsang, melintang atau sebagainya. Adakalanya ia menyekat kelahiran
bayi kerana ketumbuhan itu terlalu besar dan tidak membolehkan kepala
bayi turun ke rongga punggung. Wanita yang mengandung dengan fibroid
kadangkala mengalami kesakitan kerana fibroid ini menjadi tegang dan
tertekan. Di samping itu, ia mengalami proses perubahan yang dinamakan
degenerasi. Inilah yang menyebabkan kesakitan bagi wanita yang
mengandung dengan fibroid pada rahim.
Fibroid Boleh Menekan Pundi-Pundi Air Kencing
Pundi-pundi
air kencing terletak sebelah-menyebelah rahim, iaitu pundi-pundi air
kencing terletak di hadapan rahim. Oleh itu, jika ada sesuatu
ketumbuhan, maka pundi-pundi air kencing akan tertekan. Ketika seseorang
wanita hamil, pundi-pundi air kencing juga tertekan menyebabkan
berlakunya jangkitan kuman. Akibatnya seseorang wanita itu sering
mengalami masalah kencing seperti kerap-kali hendak kencing, tidak boleh
menahan kencing dan kadangkala wanita juga tidak boleh mengawal
perkencingan apabila dia batuk dan atau bersin disebabkan tekanan
ketumbuhan fibroid ke atas pundi-pundi air kencing. Wanita dalam umur
empat puluhan yang mengalami masalah perkencingan eloklah juga diperiksa
peranakannya. Kemungkinan ini disebabkan oleh ketumbuhan fibroid.
Fibroid Dan Kekenduran Rahim (Prolaps)
Fibroid kadangkala menyebabkan prolaps atau kekenduran pada
rahim. Bagi wanita yang telah putus haid dan mengalami kekenduran rahim
selepas berulang-ulang melahirkan anak, khususnya mereka yang sukar
untuk melahirkan anak, perlu dibantu dengan alat seperti forseps atau
vakum. Keadaan ini akan menjadi lebih buruk jika ada ketumbuhan fibroid.
Dalam hal demikian, rawatan sewajarnya ialah pembedahan.
Apakah Fibroid Perlu Dirawat?
Seperti
yang saya nyatakan, tidak semua kes fibroid perlu dirawat jika ia tidak
menimbulkan sebarang masalah atau gejala, dan jika ketumbuhan itu kecil
sahaja. Bagi wanita yang menghampiri umur putus haid (biasanya 50
tahun), fibroid itu akan mencerut dengan sendirinya akibat daripada
kehabisan hormon estrogen. Bagi mereka ini, pembedahan atau rawatan
untuk fibroid tidak diperlukan.
Setakat ini tidak ada rawatan yang
menggunakan ubat yang boleh mencerutkan ketumbuhan fibroid tetapi ada
kemungkinan ubat-ubatan tradisional seperti akar kayu atau daun-daun
yang kemungkinan mempunyai kesan, khusus terhadap rahim yang boleh
mencerutkan ketumbuhan fibroid. Bidang ini masih lagi terbuka luas dan
usaha yang boleh mendapatkan ramuan untuk mencerutkan ketumbuhan
fibroid, saya percaya kemungkinan akan menjadi satu penemuan yang luar
biasa.
Fibroid Dirawat Secara Pembedahan
Rawatan yang khusus bagi
fibroid, khususnya yang besar serta menimbulkan masalah seperti gangguan
haid, kekurangan darah (anemia), ketidaksuburan, menimbulkan gejala
seperti gangguan perkencingan ataupun menyebabkan rahim turun ke bawah
(prolaps) ialah pembedahan. Beberapa perkara penting perlu diambi kira
sebelum seseorang doktor memilih tentang jenis dan kaedah pembedahan.
Perkara yang penting ialah sama ada wanita itu mahu melahirkan anak lagi
atau tidak, dan kedua, sama ada dia juga mengalami kekenduran rahim
(prolaps) atau tidak.
Bagi wanita yang masih muda dan masih mahu
melahirkan anak dan mereka yang mengalami masalah kesuburan, pembedahan
biasanya dilakukan melalui perut di mana ketumbuhan fibroid sahaja yang
perlu dibuang. Pembedahan ini dinamakan myomektomi. Myoma ialah nama
bagi ketumbuhan fibroid. Oleh itu, pembedahan tersebut dinamakan
myomektomi. Kadang-kala seesorang wanita itu boleh ditumbuhi beberapa
fibroid. Saya pernah membuang lebih 20 ketulan myoma yang saiznya
seperti guli kecil sehingga sebesar bola tennis.
Pembedahan
untuk membuang ketumbuhan fibroid atau myomektomi, kadang-kala
menimbulkan masalah jangka-panjang di mana fibroid mungkin tumbuh semula
dan menimbulkan gejala kesihatan yang akhirnya mungkin memerlukan satu
lagi pembedahan di mana rahim dan ketumbuhan tersebut perlu dibuang
sekaligus.
Pembedahan Untuk Membuang Rahim (Hysterektomi)
Pembedahan
yang mutlak bagi wanita yang menghidap tumbuhan fibroid, khususnya
mereka yang tidak bercadang untuk melahirkan anak lagi kerana mungkin
mereka telah mempunyai bilangan anak yang cukup ataupun telah menjangkau
umur lebih daripada 40 tahun dan ketumbuhan ini menimbulkan
berbagai-bagai masalah kesihatan, ialah pembedahan hysterektomi.
Pembedahan ini dianggap sebagai satu pembedahan besar dan biasanya
seseorang itu perlu tinggal di hospital selama seminggu. Pembedahan ini
memerlukan lebih kurang sebulan setengah untuk pulih kepada keadaan
sediakala.
Ramai juga wanita yang tidak begitu gemar menjalani
pembedahan hyisterektomi kerana ini akan menyebabkan dia kehilangan
rahim, iaitu lambang kewanitaan mereka. Tanpa rahim, haid tidak lagi
keluar. Sebenarnya, seseorang wanita yang menghidap penyakit dalam rahim
dan tidak mahu melahirkan anak, dia tidak lagi perlu memikirkan, bahawa
rahim tersebut sebagai lambang kewanitaannya dan untuk mengekalkan
kejelitaannya. Rahim hanyalah berfungsi untuk menaungi dan melindungi
janin dalam kandungan. Rahim bukan satu organ yang melambangkan
kejelitaan wanita dan ia juga tidak penting bagi menentukan hubunga
seksual yang memuaskan. Sebenarnya haid bukan satu lambang kewanitaan,
tetapi haid itu sebenarnya merupakan tanda bahawa seseorang itu tidak
mengandung. Jika seseorang wanita itu mengandung maka haidnya akan
berhenti.